Wednesday 2 January 2019

Tahun Baru 2019

Alhamdulillah.

Allah izinkan saya terus bernafas di tahun baru Masihi ini.
Allah izinkan saya melihat anak-anak membesar dan menghantar mereka memasuki Tingkatan 4, Tingkatan 1, Darjah 3 dan Darjah 1.
Allah izinkan kembali tinggal bersama ibu dan ayah yang masih sihat walau semakin dimamah usia.
Allah izinkan saya kembali dapat merasai air tangan ibu, tukang masak terhebat di dunia yang pernah saya rasakan.
Allah izinkan saya mengecapi usia perkahwinan yang telah melangkaui usia 16 tahun, 20 Disember 2018 yang lalu.

Allah...banyaknya nikmat yang Allah bagi. Terasa malu menulis dan menyebutnya satu persatu jika dibandingkan sedikit sekali bukti kesyukuran saya atas segala nikmat Allah yang Maha Hebat itu.


Bertambah malu apabila saya membandingkan, ada di antara saudara dan sahabat yang tidak lagi dipilih memasuki tahun Masihi ini.
Ada ibu ayah yang telah menyediakan segala keperluan persekolahan, namun Allah tak izinkan menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Kerana terlebih dahulu dijemput kembali kepada yang Mencipta mereka.
Ada anak-anak yang masuk sekolah dengan gelaran baru 'yatim piatu'.
Ada isteri atau suami yang sudah tidak boleh lagi menyebut 'Happy Anniversary' kerana Tuhan telah mentakdirkan maut menjemput pasangan hidup mereka.
Tak kurang juga ada yang sudah tak mampu memanggil ibu dan ayah yang telah pun memasuki alam barzakh.

Sambil mengenang nikmat dan musibah itu, sesekali telinga disapa dengan beberapa perkongsian penceramah tentang azam. Saya suarakan pada si kecil lalu dia bertanya:

"Umi..azam tu apa?"

Lalu saya menjawab: "Azam tu apa saja perkara baru yang kita ingin nak buat lebih baik dari sebelum tu..kecik pun takpa tapi berubah jadi lagi elok. Atau nak terus ja nak buat perkara baik yang memang sedang kita buat. Lebih kurang macam niat juga maksudnya."

Contoh: InsyaAllah....
"Layla nak dapat top 10 dalam kelas tahun ni."
"Layla dah tak nak tinggal solat terutamanya solat Isyak." (selalu tertidur awal punya pasal)

Dan ketika mereka-reka apa azam baru saya, terngiang pula kata pengetua ketika majlis taklimat anak ke-2 Humaira Asyura baru-baru ini:

"Anak-anak tuan/puan perlu menghafaz 6 juzuk dari al-Quran tahun ini. Maka setiap hari, perlu hafaz satu muka surat. Bermula juzuk 30, seterusnya juzuk 1 hingga 5. Tak banyak pun. Walaupun target kita Tingkatan 5 dapat khatam hafazan 30 juzuk al-Quran biasanya murid dapat capai ketika di Tingkatan 3 dan 4 lagi!"

Allahuakbar. Terasa seperti bom atom dijatuhkan betul-betul di atas kepala saya.

Entah kenapa, saya tidak begitu merisaukan sama ada si anak boleh atau tidak. Namun tiba-tiba saya membayangkan seperti pengetua itu sedang bercakap dengan diri saya seorang.

"Hang nak anak hapai 6 juzuk, hang pun kena hapai sama Mumtazah!."

Seolah-olah begitulah.

Terimbas memori betapa seronoknya menghafaz berjemaah ketika mengikut kelas Hafazan Nadi al-Baghdadi di Bangi dulu. Allahuakbar. Ada yang laju ada yang lambat. Kami sama-sama berusaha menghafaz ayat demi ayat. Siap dengan tafsir sesekali diterangkan ustaz. Walau penat macam mana pun, gagah juga ke kelas yang diadakan pada malam hari bekerja. Terasa seperti bateri telefon yang 'kong' kembali dicaj saat ayat-ayat al-Quran dibaca berulang-ulang. Asyik! Begitu juga ketika mengikuti sijil di Usm juga ada beberapa juzu' yang berjaya dihafaz.

(Baca perkongsian sebelum ini di pautan berikut:
1. https://mumtazahsanusi.blogspot.com/2014/11/me-nadi-al-baghdadi.html
2. https://mumtazahsanusi.blogspot.com/2015/03/testimoni-peserta-bengkel-hafazan-nadi.html
3. https://mumtazahsanusi.blogspot.com/2015/03/tips-hafazan-orang-sibuk.html
4. https://mumtazahsanusi.blogspot.com/2015/03/tahfiz-motivation-dari-wall-fb-deden-m.html
5. https://mumtazahsanusi.blogspot.com/2015/03/tidurnya-al-quran-by-deden-m.html
6. https://mumtazahsanusi.blogspot.com/2015/03/usrati-190022015-misi-7m-al-quran.html )

Baru-baru ini ada sahabat yang tidak pernah saya kenali di FB membaca salah satu posting di atas. Beliau begitu inginkan anaknya menjadi Hafiz al-Quran namun agak sedih dan terkilan apabila suami tidak pula berniat yang sama. Lalu saya memberinya semangat untuk terus berusaha dan berdoa.

Keterujaan saya memberi beliau dan rakan-rakan lain dengan niat yang sama doa dan harapan, sedikit sebanyak menghapuskan rasa sedih saya kepada diri sendiri. Kebanyakkan ayat-ayat yang telah dihafaz seolah semakin kabur meninggalkan saya. Terasa bersalahnya pada al-Quran kerana gagal mendisplinkan diri membuat ulangan. Sehingga 'mereka seperti merajuk dan menjauh pergi.' :-(

Dan apabila Allah memilih si anak untuk ke sekolah yang bermodelkan tahfiz Ulul Albab, ia seperti ketukan untuk saya kembali sedar yang saya perlu berbuat sesuatu untuk memperbaiki bacaan dan kembali istiqamah dengan hafazan al-Quran.

Baru sekejap tadi, saya terjumpa 2 artikel berkaitan yang sangat bagus ini.

1. https://siraplimau.com/tips-mudah-menghafal-al-quran/
2. http://www.suarainsan.net/tidak-pernah-sekolah-tahfiz-tapi-berjaya-hafaz-30-juz-al-quran/

Tak payah banyak, sehari 1 ayat pun ok.

Kalau tak dapat nak ke kelas, kita cuba dengan anak-anak jom?!

#AzamPertama2019
#MogaAllahMakbulkan

"YA HAFIZ YA MUHAIMIN, PELIHARALAH AYAT-AYAT DARI KITAB SUCIMU UNTUK KAMI SENTIASA DEKAT DENGANNYA, MEMBACA, MENDENGAR, MENGHAFAZ, BELAJAR DAN MENGAJAR, SERTA MENTERJEMAHKANNYA PADA AKHLAK DAN KEHIDUPAN KAMI.

MOGA AL-QURAN MENJADI "BFF" KAMI DI DUNIA, DI DALAM KUBUR, SYAFAAT BUAT KAMI DAN SELURUH KETURUNAN KAMI DI AKHIRAT. DAN MENJADI ASBAB UNTUK KAMI TERPILIH BERJIRAN DENGAN RASULULLAH  DI SYURGA-MU YANG PALING TINGGI. AMIN."


No comments:

Post a Comment