Monday, 18 April 2016

Tips Praktikal Penulisan oleh Tuan Zamri Mohamad






#1 Bagaimana cara menulis atau mula menulis?


  • “Bagaimana cara saudara menulis?”
  • “Bagaimana saudara mula menulis?”
Jika diberi pilihan, mana satu soalan akan kita tanyakan?
Dalam setiap soalan, ada satu perkataan yang memberikan jawapan satu ke utara dan satu lagi ke selatan.
Kenapa berbeza?
Soalan pertama berkaitan teknik menulis dan soalan kedua merujuk kepada peristiwayang mendorong orang itu menulis.
Soalan mana yang lebih tepat kita ajukan kepada penulis yang tersohor?
Sekiranya kita bertemu mana-mana penulis buku, bertanyalah bagaimana mereka mulamenulis. Soalan cara menulis kita tangguhkan terlebih dahulu.
Mengapa saya berkata begitu?
Soalan kedua mendorong motivasi yang tinggi kepada saudara apabila mahu mendapatkan momentum menulis. Isi cawan emosi melalui cerita-cerita benar yang dilalui oleh penulis terdahulu.
Kenapa cawan emosi mesti sentiasa diisi?
Menulis merupakan  memerlukan komitmen jangka panjang. Maka saudara akan mengalami situasi turun naik. Ada yang turun tidak naik-naik lagi kerana cawan emosi sudah kering. Sebabnya, tidak ada cerita-cerita penulis dahulu yang dapat mengisi cawan emosi kembali. Kerana selama ini dia hanya mahu tahu teknik yang betul sahaja.
Penting kepada penulis baharu mengetahui kejayaan penulis terdahulu bermula. Korek ceritanya seawal permulaan, bukan pada peringkat beliau bergelar penulis best-seller.
Misalnya, kita tahu kejayaan JK Rowling yang menulis buku Harry Porter. Tetapi jarang mengambil tahu apakah aktiviti beliau yang dilakukan secara konsisten ketika nama masih kecil dan karya belum terbit. Ramai orang tidak tahu ada seorang lelaki berusia yang turun naik tangga membawa manuskrip beliau ke rumah penerbit. Bukan sekali, tetapi 12 kali.
Lelaki itu bernama Christopher Little, orang yang ditakdirkan menukarkan wanita miskin menjadi wanita terkaya di dunia melalui novel.
Pada tahun 1995, JK Rowling yang berusia 32 tahun memasuki perpustakaan di Edinburgh dan mencari senarai literary agent atau ejen yang dapat mewakili penulis. Beliau tertarik dengan nama Christopher Little kerana nama itu seakan-akan nama watak dalam buku kanak-kanak. JK Rowling memilih lelaki ini bagi menguruskan manuskrip beliau untuk tujuan penerbitan.

Malah orang tidak tahu, buku JK Rowling hanya dicetak pada peringkat awal sebanyak 3,000 naskhah dan barulah ia bertambah dari masa ke semasa sehinggalah beliau menjadi penulis pertama yang mencapai status billionaire.
Jika saya bertanya kepada JK Rowling, “Bagaimana cara menulis?” saya yakin nama lelaki ini tidak muncul. Malah panduan paling penting bagi membina kerjaya menulis, iaitu mencari orang yang dapat mewakili karya kita tidak akan diperolehi.

Saya mengorek rahsia Puan Hanieliza Kamarudin yang dikenali dengan nama Chef Hanieliza. Dalam ramai-ramai orang teruja mahu dengar kejayaan beliau menjadi jutawan dengan menulis buku resipi hanya dari rumahnya di Kerteh, Terengganu, tidak ramai mahu bertanya apa yang beliau lakukan sebelum buku beliau meletup.
Bayangkan, beliau menulis buku resipi dengan senduk di tangan kiri dan kamera diangkat tinggi di atas periuk menggunakan tangan kanan. Buku-buku awal ditulis begitu. Suri rumah yang percaya apa yang ditulis akan sampai kepada khalayak pembaca.
Tahu apa berlaku sekarang?
Rumah penerbitan pun ada dapur untuk beliau memasak agar mudah diambil gambarnya oleh jurufoto profesional.
Jika kita bertanya, bagaimana cara menulis kepada Chef Hanieliza, kita tidak akan dapat formula bertahan yang membawa kepada jualan buku resipi sebanyak 1 827 604 naskah. Jika kita bertanya bagaimana mula menulis, kita akan mendapat maklumat dari hari pertama sehingga sekarang.
Selepas membaca cerita-cerita begini, apakah perasaan anda?
Saya berikan contoh-contoh soalan yang kita dapat ajukan kepada mana-mana penulis tersohor jika dapat bertemu mereka di acara buku.
  • “Bolehkah Tuan ceritakan permulaan aktiviti menulis. Awal-awal dahulu.”
  • “Apa yang menyebabkan Tuan tidak berhenti menulis walaupun ada orang kata menulis tak boleh pergi jauh?”
  • “Apakah dugaan dan kesukaran paling berat Tuan hadapi dalam aktiviti menulis ini?”
  • “Masih ingat lagi waktu buku Tuan diangkat sebagai buku terlaris, apa yang berlaku sehingga tercetus situasi itu?”
  • “Jika ada satu nasihat yang Tuan dapat berikan kepada saya yang mahu menulis, apakah nasihat itu?”
Isi cawan emosi sendiri dengan mengorek sedalam-dalamnya cerita  bagaimana para penulis yang berjaya sekarang bermula. Bertanya soalan yang betul.
Itulah tenaga yang kita akan simpan dan bakar sepanjang menyiapkan buku pertama kelak.





#2 Menulis gila-gila apabila why-nya jelas


Tap!
Soalan ini memang popular. Setiap kali bengkel penulisan diadakan, akan ada yang bertanya soalan ini. Satu punca kenapa soalan ini timbul kerana pengaju soalan menghadapi kesukaran menulis atau tiba-tiba menulis berhenti di tepi jalan.
Whywhy dan why
Bagi menjawab soalan peserta, saya memetik judul buku lelaki ini yang bernama Simon Sinek, “Start with Why.”
simon_kelas_bengkel_penulisan
Simon Sinek memberitahu kita apa yang menjadikan sesetengah orang dapat memenuhi usaha yang dirancang dan ada yang gagal. Ia bergantung kepada sejelas mana why atau kenapa dia berbuat demikian.

Pernah dengar nama adik beradik Wright?
Mereka berdua terkenal dalam sejarah kerana menjadi orang pertama yang melakukan penerbangan. Tapi ada satu cerita lagi berlaku serentak pada zaman adik beradik Wright.
Sudah ada orang yang mempunyai segala macam ilmu dan teori, kumpulan jurutera dan wang yang cukup banyak bagi menghasilkan kapal terbang. Orang itu bernama Samuel Pierppint Langley.
Semua orang berkata, “Langley akan menjadi orang pertama yang terbang,” dan beliau sudah ada $50,000 geran daripada Jabatan Pertahanan yang bersetuju memberi bantuan kewangan kepada beliau.
Tetapi sejarah berkata, meskipun Langley ada duit yang lebih dari cukup, sekumpulan jurutera yang pakar, beliau gagal memenuhi hasratnya.
Adik beradik Wright yang tidak ada pendidikan kolej  dan mengusahakan kedai basikal mempunyai impian yang sama, mereka mahu terbang. Pada tahun 1903, mereka membuktikan perkara itu berlaku.
Di mana Langley yang disebut-sebut akan menjadi orang pertama terbang ke langit?
langley_kursus_bengkel_penulisan
Kredi foto Langley, Aviation History
Simon Sinek berkata, baik Langley mahu pun adik beradik Wright, mereka sama-sama bermotivasi mahu terbang dan dikenali melalui disiplin kerja yang baik. Tetapi satu perkara yang menjadikan adik beradik Wright meninggalkan Langley ialahkenapa (why) mereka lakukan.
  • Pada adik beradik Wright mereka teruja dan mahu terbang. Mereka tetap jalan terus. Mereka berjaya dan meneruskan lagi aktiviti yang sama.
  • Pada Langley, beliau teruja mahu menjadi orang pertama yang terbang. Beliau berhenti mencuba apabila adik beradik Wright berjaya.
Soalan kenapa atau why nampak kecil, tetapi ini akan membuatkan kita tidak duduk diam dan terus menulis sehingga siap. Kita tidak berhenti kerana kita tahu apa yang kita mahu capai dalam menulis buku itu. Kita tidak menunggu peluang datang, tetapi mencipta beberapa peluang, dengan harapan salah satu menjadi pintu masuk.
Ada seorang penulis tempatan yang mengekalkan nama ayahnya pada kulit depan buku meskipun ada pilihan meletakkan nama pena yang berpotensi menaikkan jualan buku. Tetapi beliau kekal meletakkan nama ayah dalam berpuluh bukunya.
Malah dengan meletakkan nama ayahnya pada kulit hadapan seperti satu misi penting kepada beliau usahakan.
Jika ditanya kenapa (why), penulis ini berkata, “Inilah ucapan terima kasih seorang anak kepada almarhum ayah. Beliau mendidik saya agar degil mencapai apa yang saya mahukan, Maka saya berdegil menulis sehingga terbit. Sebab itulah, saya berharap usaha menulis nama ayah pada kulit buku ini menjadi amal baik dan diterima Allah sebagai hadiah daripada anak kepada ayahnya.”
Orang bertanya kepada saya, bagaimana saudara menulis lebih 20 buah buku?
Satu yang membuat saya akan terus menulis ialah anak ini.
amir_rayyanBeliau baru berusia satu tahun. Saya mendoakan agar Allah lanjutkan usia beliau sehingga hari tua. Sepanjang 70 tahun akan datang, anak ini akan melalui macam-macam perkara.
Dalam proses membesar menjadi manusia, ingin saya bekalkan buku-buku tulisan sendiri sebagai memandu arah beliau dalam pelbagai topik.
Alasan yang sama apabila saya membuka kelas menulis. Para peserta bengkel seperti saudara merupakan individu yang penting kepada anak-anak orang lain. Buku-buku yang saudara tulis kelak mereka akan baca bagi membina khemah berlindung di dunia.
Pada satu hari nanti kita tidak ada di sisi anak-anak ini, maka buku-buku tulisan kita menjadi sahabat di sisi mereka. Dalam rasa rindu, mereka membaca dan kekuatan mereka terisi semula.
Salah satu cerita alumni yang saya ingat sehingga sekarang ialah penulis bernama Dr Hayya Bilal. Selepas menghadiri bengkel, beliau memilih satu topik. Buku beliau tidak sampai satu bulan dalam pasaran, sudah masuk ulang cetak 4,000 naskah.
Mahu tahu buku apa yang diterbitkan?
Buku terbitan Puteh Press, Laki Aku Negro, Kau Peduli Apa.
Laki_Aku_Negro (1)
Buku mengisahkan pengalaman beliau berkahwin dengan lelaki kulit hitam dan tinggal di Malaysia. Tetapi bukan kerana pengalaman berkahwin lelaki negro yang mengujakan beliau menulis sehingga titik akhir. Beliau menulis kerana, “Kita mesti mempunyai persepsi yang betul apabila melihat sesuatu yang di luar kebiasaan.”
Ya, beliau tidak berhenti menulis kerana mahu meluruskan salah faham. Penulis ini konsisten berjuang mengajar pembaca bagaimana melatih persepsi. Katannya, “Kita melihat menggunakan pandangan yang adil dalam hidup.”
Malah, buku kedua beliau pun masih lagi berlegar dalam topik persepsi. Cerita-cerita yang dialami itu hanya kenderaan bagi menyampaikan mesejnya.
Itu kisah Dr Hayya Bilal. Why-nya membawa beliau berkeputusan, “Tulis sehingga terbit.”
Apakah why yang akan mendorong kita terus menulis?
Sekiranya kita masih tidak ada why yang jelas, kita akan berakhir seperti Langley. Sekiranya why kita sekuat why adik beradik Wright, kita akan menulis, tidak berhenti dan akan cuba terbang dan terbang lagi.
Gali sedalam-dalamnya.
Senaraikan semua dan lihat satu why yang benar-benar akan membuat kita tidak berhenti menulis.
Selepas dapat satu, tulis begini, “Aku tidak akan berhenti menulis topik _____  kerana ______” dan tampal pada dinding. Itu azimat yang akan menggerakkan kita.






#3 Ini cara paling mudah mencari idea menulis buku


Kemudian saya meninggalkan beliau bersama-sama kumpulan. Masing-masing sudah terpisah dan menuju ke pempamer yang berbeza.
1392457455071
Pesta buku di sini diadakan sejak tahun 1972 dan jika kami ke sana membuat tinjauan aktiviti, buku, penulis dan penerbit memang tidak cukup sehari. Sejarah pesta buku ini diadakan di Windsor Place. Kemudian penganjur menukarkan lokasi ke Pragati Maidan yang mempunyai kapasiti dan ruang yang besar.

Ada waktu saya mati punca di situ. Tetapi, foto dan catatan cepat-cepat dibuat kerana banyak bahan di sini membantu para peserta kami membangunkan karya yang berbeza daripada rencah biasa-biasa.
Masuk satu dewan kemudian keluar menuju ke satu dewan lagi. Lokasi Pragati Maidan sangat luas iaitu sekitar 72,000 kaki persegi dan mempunyai 18 buah dewan besar. Satu dewan sahaja memakan masa lebih dua jam jika saya ke sana bagi tujuan membuat kajian konsep buku. Pesta buku ini menempatkan lebih 1000 pempamer.
1392454614322Snap! Snap!  
Ambil berpuluh-puluh foto. Kemudian membuat catatan idea, model kerja dan dapatan baharu yang dapat dibawa pulang untuk penulis baharu. Itu yang rakan saya marah-marah setiap kali saya hantar kepada mereka untuk cetakan modul. Modul penulisan kami selalu dikemaskini agar relevan kepada peserta.
Kembali pada cerita. Ada satu pempamer yang menarik perhatian saya.
Beliau menyewa satu tapak dan menggantungkan beberapa poster pada dinding. Salah satu poster ditulis ayat yang bermaksud manusia tidak sepatutnya muflis selagi ada idea.
Ada seorang lelaki di situ sibuk menurunkan tandatangan pada buku dan bercakap dengan beberapa orang pengunjung. Mata saya melilau melihat buku apa yang dapat saya ambil, pegang dan menghampiri beliau.
1392455284488Mujur ada satu judul yang menarik perhatian. Selepas membelek beberapa halaman, buku Win With People tulisan Prabbal Frank berada dalam tangan.
Orang yang saya mahu hampiri tinggi. Itu memaksa saya mendongak semasa bercakap. Pada akhir perbualan, barulah saya tahu buku yang saya pegang merupakan buku tulisan beliau. Malah, Prabbal merupakan CEO syarikat itu.
“Disebabkan awak datang jauh dari Malaysia, pilih mana-mana poster untuk dibawa pulang. Saya berikan percuma,” Prabbal menunjukkan senarai poster yang tersusun.
Saya memilih poster yang saya lihat mula-mula.
Mengapa ayat, “Manusia tidak sepatutnya muflis selagi ada idea,” menarik perhatian saya?
Ia bertentangan dengan mitos iaitu, kita tidak ada idea maka tidak dapat menulis.
Modal idea diberikan percuma oleh Allah. Sifatnya tidak kelihatan sehinggalah kita menggunakanya.
Seperti tepung, ia kekal sebagai butir-butir halus jika tidak dicampur air, dimasukkan sedikit minyak dan diuli sehingga sebati sebelum dimasukkan inti dan dibentuk menjadi karipap.
Bagaimana pula manusia boleh muflis tindakan jika setiap hari idea sudah pun berada di hadapan kita?
Ada berpuluh-puluh cara kita dapat menukarkan tepung idea menjadi karipap karya.
Satu idea yang dapat kita implemetasi pada hari ini ialah menjadikan modal masalah sebagai pencetus karya.
Bagaimana caranya?
Kita fokus satu daripada berpuluh (atau beratus) cara dahulu. Kita pilih perkara yang dapat dilakukan sekarang. Selepas habis ayat akhir tip ini, lakukan terus.
Tukarkan masalah menjadi karya. Idea ini diperolehi daripada peristiwa Libby Rees. Pada usia 10 tahun beliau menulis buku mengenai penceraian.
Ah! Apakah kegilaan ini, seorang anak kecil menulis tentang orang dewasa bercerai? Lebih lanjut lagi, kanak-kanak perempuan ini menulis bagaimana menghadapi penceraian ibu-bapa.
Bagaimana idea ini timbul?
Pada usia enam tahun, ibu-bapa Libby bercerai. Ibu Libby berkata anaknya bercerita, setiap kali dia melontarkan ranting kayu agar diambil oleh anjing, seolah-olah dia melontarkan sesuatu yang tidak disukainya. Tetapi pada satu hari, Libby tidak mahu lagi rasa itu kembali kepada diri.
Beliau memohon izin daripada ibu bagi menggunakan komputer. Tanpa ibu tahu apa yang beliau tulis, Libby menulis manuskrip dan mengemelkan ke beberapa penerbit. Salah satu daripada penerbit di Aultbea berkata ya dan bersetuju menerbitkan buku.
Apa yang ditulis oleh Libby?
Manuskrip yang membawa kepada buku setebal 60 halaman berkenaan panduan anak hidup dalam keluarga bercerai. Buku ini berjudul Help, Hope and Happiness.
 Buku Libby membantu beribu-ribu kanak-kanak yang berhadapan situasi yang sama seperti beliau, Masalah yang dihadapi Libby dihadapi oleh kanak-kanak lain di seluruh dunia. Ia diterjemahkan dan diterbitkan dalam pelbagai bahasa. Libby, kanak-kanak berusia 10 tahun mendermakan semua hasil jualan kepada satu badan, Save the Children bagi membantu kanak-kanak yang memerlukan.
Buku ini mengajar kanak-kanak agar ada common-sense apabila ibu-bapa bercerai. Perkara yang kanak-kanak ini lebih tahu berbanding ibu-bapa beliau.
Pada usia 12 tahun, Libby mula memasuki sekolah menengah. Apa yang dilakukan?
Beliau nampak masalah kanak-kanak yang beralih dari sekolah rendah ke sekolah menengah. Tambahan lagi ibu-bapa pun masih kabur berkenaan apa yang dapat mereka bantu mendorong anak. Maka, Libby menulis buku berjudul At Sixes and Sevens.
Tidak ramai ibu-bapa sedar anak yang beralih sekolah melalui trauma dan memerlukan bantuan. Maka buku ini memberitahu apa yang dapat diusahakan.
“If my new book helps others as much, then I will be happy,” kata beliau ketika ditemubualThe Telegraph.
Bagaimana kita dapat meniru cara kerja Libby?
Tentukan
  • Pertama, kenalpasti masalah yang mahu diselesaikan. Boleh jadi masalah sendiri atau masalah orang lain. Misalnya, kita kekok mengurus anak pertama kerana masih baru menjadi bapa. Tidak sampai satu bulan pun menguruskan si kecil. Beliau mahu dibantu.
Keluasan
  • Kedua, tentukan sama ada masalah ini bersifat universal atau setempat sahaja. Rancangan karya kita bergantung pada besar pasaran pembaca yang mahu kita sasar. Dalam contoh tadi, situasi ayah muda mengurus anak pertama merupakan panduan yang merentasi sempadan negara. Malah menyentuh hati bapa-bapa muda yang lain.
Senaraikan
  • Ketiga, mulakan menulis secara ringkas dahulu dan bangunkan isi yang praktikal, relevan dan mempunyai faktor yang mengujakan. Senaraikan satu persatu bab dan isikan kekosongan bab dengan pembacaan, diskusi, mendapatkan petua orang lain dan gabungan semua secara teratur.
Adakah ayat tidak ada idea merupakan fakta atau mitos?
Bukan begitu, idea itu ada, cuma belum diuli sehingga sebati dan belum berkeputusan kuih apa yang mahu dihidangkan kepada pembaca.




#4 Lima cara menulis gaya pentas Zakir Naik


Lebih mudah saya kata, mereka ini sebelum ini bertemu atas dasar silaturahim dan ziarah.
Di atas pentas beliau dilihat seorang yang tegas, tajam dan seolah-olah seperti keras hati dalam beberapa keadaan.
Bagaimana jika bertemu beliau di luar aktiviti ceramah?
“Seorang yang kurang bercakap dan tidak suka bergambar kerana beliau takut betapa mudahnya (Muslim) taksub pada orang (bukan pada ilmu),” kata guru saya.
kursus-bengkel_menulis_penulisan_zakir_naik
Kredit foto Oase Muslim
Sebagai penulis baharu, apa yang dapat kita belajar daripada Dr Zakir Naik di atas pentas?
Sebagai maklumat, ketika mana perdebatan ‘agak-agak’ media sosial berkenaan kenapa beliau diberi ruang dan kepercayaan serta orang lain tidak diberi ruang, lesen kebebasan telah pun diberikan sebelum ini. Ruang yang besar kepada lebih 60,000 buah buku yang konsisten diterbitkan bagi menyerang Islam. Ia berlaku dalam tempoh 150 tahun jika diambil dari tahun 1800 sehingga 1950 dengan purata satu buku satu hari.
Bukan saya kata, Professor Edward (A. A Christian surveyor) dalam TIME pada 16 April 1979. Edisi, Islam the Militant Revival.
Itu pun masih lagi ada orang kata bercakap tidak diberi peluang dan kebebasan?
Kembali pada topik, adaptasi kerja Zakir Naik dalam penulisan buku. Kita adaptasi dalam pengkaryaan lima prinsip ini.
[1] Prioriti agar tidak terkejar-kejar
“The topic for today is….”
Senaraikan semua topik yang pernah disampaikan oleh beliau. Tidak ada penambahan topik baharu yang ketara. Tetapi fokus kepada topik yang sama berkali-kali. Peneguhan kepada pendengar pada topik yang paling penting dan relevan.
Fokus topik yang sama membantu penulis menguasai subjek dengan baik dan mendalami ilmu sehingga ke dasar. Dalam waktu yang singkat, kajian dan pembacaan dalam topik yang utama menjadi keutamaan dan digandingkan bersama subjek silang yang lain.
[2] Pengulangan jelas, terang dan pelbagai
“Our brother posed very good question….”
Dr Zakir akan melakukan pengulangan dalam tiga keadaan.
Pertama pengulangan soalan yang diajukan oleh penyoal. Pengulangan sebagai cara mendapatkan kepastian sama ada soalan itu yang dimaksudkan.
Kedua, bertujuan memberitahu khalayak apa yang sedang diajukan.
Ketiga, pengulangan dalam isi ceramah menggunakan konteks yang berbeza.
Pengulangan maklumat dalam penulisan dapat dilakukan dalam beberapa kaedah.
Kita boleh memberikan maklumat secara langsung, menukarkan dalam bentuk informasi berinteraktif, menjadikan ia sebagai kesimpulan atau menukarkan bentuk dari teks menjadi visual.
[3] Fakta pengaruhi pembaca
“According to …. chapter… in…”
Fakta merupakan peneguhan ke atas maklumat. Fakta baharu merupakan kesegaran ke atas maklumat.
Fakta juga menolak penjelasan berdasarkan agak-agak dan rasa-rasa.
Fakta juga menghasilkan satu garis lurus yang tebal memisahkan orang yang mempunyai disiplin ilmu atau ‘disiplin’ nafsu.
[4] Analogi pemudah cara
“Suppose we are …. for example …. Let’s say.”
Analogi digunakan bagi menunjukkan bagaimana maklumat itu diaplikasi.
Kesan visual lebih jelas ketara dengan penggunaan analogi dan contoh kepada pendengar.
Malah perbandingan dan huraian maklumat dapat disampaikan melalui analogi dan contoh.
[5] Tetap Pendirian
“Give others …. Show me one single statement…”
Bersedia menolak dan tetap pada apa yang mahu dicapai. Tidak terperangkap dengan perbalahan sia-sia. Menolak dengan mengulang maklumat sahaja tanpa perlu mencipta buah silat baharu untuk membalas.
Selain berada di atas pentas, Dr Zakir Naik juga menulis beberapa buah buku seperti The Qur’an and Modern Science, Compatible or Incompatible dan 20 Most Common Questions About Islam.


#6 Setiap kali menulis, jadikan maklumat berlapis tiga


Saya pula mahu pulang ke rumah selepas bertalaqi  dengan salah satu penerbit yang banyak menerbitkan buku para peserta bengkel kami. Beliau menghadirkan diri ke bengkel pemasaran. Peluang itu saya ambil agar dapat bertemu dan belajar. Susun semula, rasionalkan semula agar dapat digunakan oleh penulis baharu.
Pulang bersama rasa bersyukur apabila penerbit (dalam foto) berkata, “Semua buku penulis (bekas peserta bengkel) yang diwakili sudah masuk proses buku  ulang cetak dan penulis yang menulis pada tahun lalu akan mula mendapat royalti empat angkat mereka.”
Ketika menunggu di depan pintu masuk ke keretapi, bertembung dengan cikgu yang sudah sepuluh tahun kami tidak bertemu. Beliau mahu pulang ke Pulau Pinang kerana ibu mentua diserang sakit jantung. Nama beliau Tuan Rohaizam Roosley, wartawan hiburan akhbar berbahasa Inggeris di sini.
Dalam perjalanan, saya bertanya kepada beliau, apakah perubahan paling besar dalam penyediaan kandungan untuk akhbar berdasarkan kerja beliau sekarang.
“Tiga lapis,” katanya.
“Tiga lapis?” saya masih tidak menangkap maksudnya.
Dalam keadaan berdiri, beliau menyambung, “Dalam satu penulisan berita kami menyediakan tiga lapis laporan. Pertama, penulisan laporan awal. Kemudian kita ikuti dengan penulisan susulan pertama. Selepas itu susulan penulis ketiga.”
Maklumat ini saya mahu hadam penuh, bertanya lebih lanjut lagi, “Bagaimana satu berita dapat disampaikan dalam tiga kali laporan?”
Beliau mengambil satu contoh, “Katakan satu konsert. Kita datang kali pertama menulis bagi tujuan melaporkan berkenaan konsert itu. Siap satu berita, terbit dan cetak. Kemudian, kita dapat tahu artis yang menyanyi tempoh hari jatuh ketika membuat persembahan. Maka, saya ke sana buatkan laporan berita. Apa yang berlaku selepas insiden itu, maka ia menjadi penulisan susulan ketiga,” penerangan satu demi satu yang bermula dari satu konsert sahaja.”
Sambil berkongsi maklumat, beliau memberitahu sedang membuat liputan mengenai sebuah program mingguan di televisyen.
Disebabkan beliau wartawan, individu yang menulis pada setiap hari, maka kelancaran perkataan dan idea sudah dilatih berkali-kali. Muncul soalan kedua dalam fikiran, kerana ketika saya menjadi wartawan bagi sebuah badan penyiaran swasta perkara ini banyak menyekat kreativiti menulis.
“Setiap minggu buat laporan untuk program yang sama. Bagaimana mahu cipta perspektif yang segar dalam penulisan?”
Tersenyum beliau dengan soalan ini, “Ya, kekalkan momentum laporan bukan perkara senang. Soalan ini pun diajukan oleh wartawan junior. Dalam kes saya, jangan terperangkap dengan apa yang di pentas dan pada meja juri. Gerakkan laporan kita dari pelbagai sudut. Baik pengawal keselamatan, tukang cuci, penjaga pintu, semua ada bahan yang dapat diangkat memenuhi laporan mingguan,” jawab panjang lebar.
Saya pulang dengan dua maklumat ini dalam kepala. Masih dalam kategori maklumat mentah, perlu dicanai sehingga menjadi skrip tindakan. Khususnya dapat diaplikasikan dalam penulisan buku. Teori sahaja membuat kita faham, tindakan mendorong kita menguasainya sebagai kemahiran.
Bagaimana pendekatan tiga lapis dapat digunakan oleh penulis baharu?
Cara ini membantu memecahkan kebuntuan ketika menulis. Andaikan kita mahu menulis berkenaan topik stress.
Lapisan pertama
Kita menulis secara umum berkenaan topik tersebut.
Misalnya, stress memberi kesan kepada kesihatan jika tidak dikawal seawal mungkin. Maka maklumat yang umum ditulis menggunakan persembahan yang segar agar tidak terperangkap dengan gaya kliseKita boleh gunakan dengan satu dua contoh kes umum.
Lapisan kedua
Kita memanjangkan topik umum itu dengan menulis maklumat yang boleh jadi orang tahu atau tidak tahu mengenainya.
Didapati stress dibahagikan dalam tiga bentuk iaitu acute stress, Episodic acute stress danchronic stress. Kita baca, tulis semula dan panjangkan maklumat di sini bersama-sama contoh kes-kes individu yang terbabit.
Lapisan ketiga
Kita menulis lagi topik umum tadi dengan memasukkan maklumat tambahan yang tidak diketahui orang ramai.
Rupa-rupanya dalam pembacaan lanjutan dalam ketiga-tiga bentuk stress ini, semuanya melibatkan tiga jenis hormon dalam tubuh badan yang jika berlebihan memberi kesan penuaan segera. Hormon-hormon itu ialah AdrenalineNorepinephrine dan Cortisol. Kita panjangkan maklumat di sini bersama-sama selang seli contoh bagaimana ia mempengaruhi tubuh secara berperingkat.
Cuba eksperimenkan satu topik menggunakan kaedah ini. Saya harapkan kaedah ini dapat memecahkan kebuntuan kita menulis pada peringkat awal.

#7 Asingkan Merekod & Menyunting Idea 



Ketika menulis emel ini, saya dalam penerbangan sembilan jam ke Sydney atas tujuan kerja di Sydney Writers Festival.
Emel hari ini mengandungi tip mempercepatkan kerja-kerja kita menulis.
Mengapa rasa berat kepala ketika menulis?
Penulis baharu berkata mengalami situasi sukar menyampaikan idea ketika menulis. Saya bertanya beberapa soalan.
"Adakah saudara kerap menekan butang 'delete' setiap kali menulis?"
Beliau berkata, "Ya!"
Saya terus mengajukan soalan kedua, "Adakah saudara mahu menulis maklumat yang tepat dan terakhir ketika menulis?"
Beliau mengangguk-angguk.
Terus kepada soalan ketiga, "Pernahkah saudara berhenti kerana ada rasa ayat itu tidak sedap dibaca. Kemudian dipadam beberapa ayat dan ditulis semula?"
Beberapa kali beliau berkata ya, ya dan ya.
"Saudara bukan menulis, saudara sedang melakukan proses menyunting bahan. Itu sebab proses menulis lambat, terhenti dan tidak siap-siap."
PISAH
Saya lukiskan bulatan bagi menerangkan beza menulis dan menyunting bahan.
Bayangkan bulatan ini kepala.
Saya lukiskan garis lurus yang memisahkan bulatan.
"Ingat prinsip ini, menulis merupakan proses merekodkan idea. Menyunting merupakan proses mencantikan idea," saya sebut berkali-kali.
Ketika merekodkan idea, jangan pedulikan ayat itu sedap dibaca atau tidak, susunan tepat atau sebaliknya, idea itu longgar atau sudah cukup baik. Fokus kepada menyimpan idea dalam bentuk tulisan.
BERHENTI
Selepas proses menulis selesai, berhenti dan jangan lakukan apa-apa.
Selama ini beliau mencampur aduk kedua-duanya.
Saya melukis garisan zig zag kiri dan kanan sebagai mesej, "Saudara hilang kawalan ke atas karya sendiri kerana kerap ke kiri (menulis) dan ke kanan (menyunting)."
Beliau memandang papan putih. Kemudian kembali melihat komputer. Duduk dan menulis selama 20 minit di meja. Saya tinggalkan beliau seorang di situ.
Selepas 20 minit saya kembali dan memberi arahan seterusnya, "Saudara keluar rehat dan minum kopi."
Penulis baru akur. Cukup masa, beliau masuk kembali dan memerhatikan ayat-ayat yang ditulisnya 20 minit lalu.
"Saudara tahu kenapa saya mohon keluar?"
Beliau diam.
"Saya mahu 'memisahkan' saudara antara proses menulis dan menyunting idea. Perkara yang memberatkan kepala kita apabila menulis dan menyunting dilakukan serentak. Bukan kerana tidak ada idea, tidak ada ayat yang sesuai. Kita membuat kerja seperti makan dan minum serentak, muntah!"
"Makan dahulu barulah minum, buat secara bertahap," kata penulis baharu.
"Sekarang saudara cantikkan maklumat yang ditulis tadi. Sama ada menyusun cara disampaikan atau mencari bahan tambahan bagi menguatkan idea," kata saya.
LAJU
Tidak lama kemudian, proses kerja makin lama makin laju. Pada awalnya beliau memerlukan sepuluh minit bagi mencapai 10 baris ayat. Sekarang, kurang satu jam, dua halaman dapat dicapai. Selepas kembali berehat, ia berganda dua ketika proses menyunting maklumat.
Menulis dan menyunting merupakan dua proses berbeza.
Asingkan kedua-duanya.
Cuba amalkan dan kongsikan cerita anda dalam respon emel nanti.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------
Mengenai trainer 




kursus_penulisanSaya Zamri Mohamad, penulis 25 buah buku dan ebook. Saya akan mengendalikanbengkel praktikal untuk penulis baharu seperti saudara pada April ini.  Para peserta sebelum ini ada yang lulus terbit di PTS, Karangkraf, Blink, Must Read, Kopi Press, Galeri Ilmu dan Legacy Publishing. Ada juga yang terbit buku sendiri.  Saudara mahu belajar cara menulis buku sehingga siap? Mohon klik pada ayat ini.


No comments:

Post a Comment