Thursday, 1 February 2018

Catatan 1 Februari 2018 -"Anak"

Hampir seminggu. Namun masih teringat-ingat perbualan santai dengan sahabat sekuliah seorang doktor ini.

"Ketika saya bertugas di sebuah klinik kesihatan di bahagian ibu dan anak, pelbagai jenis manusia datang mendapat khidmatnya. Yang paling menarik ada yang mengandung 3 tahun berturut-turut dan bila diselidiki, beliau akui anak yang dikandung adalah anak luar nikah. Harga yang perlu dibayar hasil dari pekerjaannya sebagai... kupu-kupu malam. Dihadiahkan juga ujian besar apabila disahkan HIV Positif.

Walau dia dipandang hina dan keji masyarakat, namun soal anaknya amat diambil berat. Tanpa gagal membuat pemeriksaan kandungan berkala. Jika perlu dirujuk ke hospital, beliau akan pergi ke sana. Anak2 dibawa ke klinik mengambil suntikan. Yang amat mengharukan, walau getir meneruskan kelangsungan hidup, tidak terlintas di hati untuk membuang anak dalam kandungan. Apatah lagi memberi mereka pada orang lain. "Susah macam mana pun, saya nak jaga anak saya sendiri Doktor. Biar mereka sihat. Tak jadi macam saya...." 

Berbeza kan dengan sesetengah kita. Sihat, mengandung anak yang sah. Namun kadangkala acuh tak acuh membuat pemeriksaan. Baik semasa mengandung atau selepas bersalin. Ada juga ibu yang datang pada saya tanpa ragu & malu ingin gugurkan anak dalam kandungan hanya kerana anak yang ada masih kecil-kecil. Sanggup membunuh kerana takut tak mampu membesarkan! 

Allah.

Ada yang sempat saya titipkan pesanan mengingatkan tentang amanah dari Allah. Tak lupa juga mengajak mereka kembali ke jalan yang benar. Soal rezeki hanya ada dalam pengetahuan Allah. Dialah sebaik2 pengatur perancangan. Barangkali mereka tahu namun terlupa. Barangkali ingat tapi terikutkan nafsu & syaitan yang menipu. Itu yang saya pegang, siapa kita untuk menilai manusia. Mungkin inilah medan dakwah saya. 

Syukur alhamdulillah. Mereka yang datang untuk menggugurkan pulang dengan niat berbeza. Anak yang asalnya tidak dialukan akhirnya dilahirkan, dibesarkan bagai minyak yang penuh. Malah ada yang kemudiannya datang membawa si kecil membuat pemeriksaan dengan saya juga.

Buat mereka yang diuji bekerja di lorong hitam. Doa saya tidak pernah berhenti buat mereka agar disuluhkan Nur Ilahi membawa mereka pulang. Menjadi wanita solehah membesarkan bakal khalifah2 soleh pemimpin umat.

Apa yang penting, kita jangan pernah menghukum. Never ever judge people! 

Kita tidak akan pernah tahu. Pengakhiran mereka yang pernah kita hina & sakiti barangkali lebih indah dari kita yang kononnya mulia. 

تَوَفَّنِي مُسْلِمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ
Wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh.” 
(QS. Yuusuf: 101)

No comments:

Post a Comment