Otak masih ligat dan berputar-putar sehingga catatan ini ditulis, sekembalinya dari kursus penulisan semalam. Seolah-olah tidak mahu berhenti pusingan tersebut. Aku masih memikirkan apa yang perlu diutamakan dalam senaraian “Things To Do” untuk setiap hari dan setiap minggu. Jika tidak, ia akan mempengerahui timeline sekiranya tidak diperkemaskan dengan elok.
Lantas, fikiran makin berkecamuk dengan 1000 macam perkara yang perlu diselesaikan. Setiap hujung minggu, ada sahaja perkara yang hendak dilakukan. Setiapnya perlu dipertimbangkan dengan rasional apa yang berada dalam timeline yang telah dibuat untuk tempoh 10 tahun akan datang. Yang paling penting, aku memerlukan masa berkualiti dengan suami yang dicintai dan anak yang disayangi.
Untuk beberapa jam, aku hanya mampu bertelaku pada jurai hari yang hampir kehabisan waktunya. Komputer dinyalakan suiznya tanpa ketukan pada papan kekunci. Aku biarkan sahaja dengan memandang tanpa bernafsu.
Walaupun semangat menulis semakin memuncak dan membara pada pertengahan kursus, sekejap saja menjunam dan mendatar. Kata-kata yang memang perit untuk ditelan akhirnya dihadam begitu sahaja.
Mendengar kenyataan berupa realiti dan ditambah pula dengan kemampuan diri amat mengena dengan diriku pada kali ini. Sebuah realiti dalam industri penerbitan. Sebagai pengarang baru dalam karya penulisan, janganlah mengimpikan sebuah kejayaan mampu terbit di atas karya yang dihasilkan.
Angka 25,000 sekali lagi membulat di dalam pusaran penglihatanku setiap kali memikirkan perjalanan penulisan. Sudahlah baru sahaja satu rencana yang dihantar ke majalah milik kerajaan belum mendapat keputusan lulus terbit. Namun, sekali sekala maklumat yang diterima daripada kawan seperjuangan yang pernah menghantar ke majalah tersebut memberi sedikit ruang aku berdiri ditengah-tengah lautan penulis.
Semakin kudekati dengan insan-insan seni ini, terasa begitu kerdil diri. Kebanyakan karya mereka sudah ditebitkan oleh rumah buku dan syarikat penerbitan yang terkenal di negara ini. Dan aku, siapakah aku di mata penerbitan?
Kupejam mata erat-erat. Aku masih dibelenggu dengan persoalan yang baharu dan ditambah dengan bebanan kerja yang ada. Aku perlu mencari rentak tari yang betul dalam perjalanan hariannku. Jika tidak, apa pun tidak akan menjadi. Pasti ia akan terkesan dengan lebih mendalam keyakinan dan semangat diri.
Aku dikejutkan dengan suara hatiku sendiri. Tiada yang memungkinkan aku turut berjaya seperti mereka. Pada asalnya mereka juga bermula dengan langkah pertama. Cuma, persoalan yang perlu dijawab ialah apakah yang membezakan aku dengan mereka itu?. Itulah yang perlu difikirkan sekarang ini.
Sekali lagi, terasa otakku ligat berpusing mencari jawapan. Jawapan yang hanya boleh ditentukan dengan keunikan dan kemampuan yang ada dalam diri. Kita adalah berbeza pada setiap sel kejadian ciptaan Allah.
Kita punya kehebatan yang Dia anugerahkan. Kita akan berjaya sekiranya kita fikir mampu melakukan. Kehebatan otak kita mampu mempengaruhi dan mengawal kesemua anggota badan untuk bertindak.
Hatta, barang keletihan pun akan memberi kekuatan untuk melakukankanya. Itulah kehebatan kawalan minda. Inilah membezakan kita dengan makhluk-makhluk ciptaan Allah yang lain.
Nah, aku mula bangkit dengan penguasaan otakku ke atas semua anggota badan.
Aku tetap yakin dengan kekuasaan-Mu!
NOTA 2
Semangat makin menampak keutuhannya, walau pun hanya dua jam badan ini diberi ruang untuk beradu. Semalam, sebelum mata dipejam, kukumpul semua energi yang tersisa bagi menjadikannya lebih berbisa pada hari yang bakal ditempuhi. Dengan ditemani alunan muzik daripada iTunes, kordinasi tangan dan otak mula menampakkan hasilnya.
Aku cuba menyenaraikan ke semua kehendak yang ingin dicapai dalam bidang penulisan. Elemen minat, sumber, peluang, kemampuan diri, dan sebarang kemungkinan adalah faktor mempengaruhi kejayaan yang digarap tadi. Perlu ada kesinambungan antara setiap elemen tersebut. Supaya ia betul-betul menjadi dan menampakkan hasilnya. Bukan sekadar janji-janji pada diri sendiri yang sememangnya akan merugikan pada kemudian hari.
Kenapa angka 25,000 boleh menggusarkan hati yang tenang. Lebih parah kekecewaannya apabila mengetahui realiti sebenar dalam dunia penerbitan buku. Ia boleh mengkuburkan cita-cita yang indah yang dibina selama ini.
Bermulanya selepas catatan yang dibuat semalam, aku terpaksa akur dengan realiti penerbitan. Royalti yang diperolehi oleh pengarang ada yang serendah RM1.50. Namun, bila mengenangkan aku punya kata-kata yang perlu ditulis di atas tinta elektronik, angka-angka itu tidak memberi erti lagi.
Tiada yang menghalang aku untuk berkarya. Jalan terus! Luangkan masa hanya tiga minit sehari, dan selebihnya 23 jam 57 minit diluangkan kepada kerja-kerja harian yang lain. Kenyataan yang diterima sedikit sebanyak menutup lompang yang ternganga sejak beberapa jam yang lalu.
Ilmu “batu-bata” cuba diamalkan di dalam penulisan. Di dalam ilmu NLP pula ia dipanggil teknik “chunking down”. Cuma, kesannya berbeza kepada penyenaraian tajuk-tajuk yang hendak ditulis.
Ruangan pada dinding “pejabat” bilik cuba dipenuhi dengan nota-nota kecil. Dikategorikan dan ditampal mengikut genre penulisan. Ia dibezakan dengan warna kertas dan tulisan. Peta besar jelas kelihatan pada ruangan dinding tersebut.
Puas! Aku rasa seolah-olah lompang yang ternganga tadi sudah diturap dengan baik dan kemas. Ini adalah motivasi diri pada saat ini, yang mendidik supaya lebih kuat. Langkah pertama sudah ditapak. Perlu ada pula susunan langkah kedua dan seterusnya.
Apabila aku teringat soalan yang dikemukan dalam seminar penulisan semalam, aku tersenyum seorang diri. Kenapa anda ingin menjadi seorang penulis? Soalan ini mesti dijawab dahulu sebelum memakai gelaran tersebut. Senyuman makin lebar terukir dibibirku. Aku sedar ianya tidak sesuai berkelakuan sedemikian memandangkan berkeseorangan di pagi hari . Namun, inilah makna senyuman lebar itu. Membuahkan sebuah jawapan daripada langkah pertama.
Lagu sudirman yang berkumandang melalui pembesar suara Edifier memberi rangsangan minda yang hampir keletihan.
“Aku bukanlah seorang perwira
Gagah menjunjung senjata
Namun hati rela berjuang
Walau dengan cara sendiri
Demi cinta ini”
Gagah menjunjung senjata
Namun hati rela berjuang
Walau dengan cara sendiri
Demi cinta ini”
Ingin dilelapkan mata barang sejam dua. Aku mengharapkan mimpi indah yang akan dimainkan sekejap lagi mampu memberi suntikan antibiotik dalam menangani penyakit diri. Yang boleh melumpuhkan jentera kerjaku.
Ternyata ia berkesan pada saat ini!
No comments:
Post a Comment