RENUNGAN DI AMBANG RAMADHAN
Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dari Salman Radhiallahu 'anhu, katanya:
Rasulullah Sallallahu 'alaihi Wasallam berkhutbah di hadapan kami pada hari terakhir daripada bulan Sya'ban.
Beliau bersabda:
"Wahai manusia, sesungguhnya kamu dinaungi oleh bulan yang sentiasa
besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada satu
malam yang lebih baik daripada seribu bulan; bulan yang Allah telah
menjadikan puasaNya suatu fardhu dan qiyam di malam harinya suatu
tatawwu'(sunat). Barangsiapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan
suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang
menunaikan suatu fardhu di bulan yang lain. Dan barangsiapa yang
menunaikan suatu fardhu di dalam bulan Ramadhan maka samalah dia dengan
orang yang mengerjakan 70 fardhu di bulan yang lain. Ramadhan itu adalah
bulan sabar, sedang sabar itu pahalanya adalah syurga.
Ramadhan itu adalah bulan memberikan pertolongan dan bulan Allah memberi
rezeki kepada para mukmin di dalamnya. Barangsiapa memberi makanan
berbuka di dalamnya kepada seseorang yang berpuasa, adalah yang demikian
itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dia dari neraka.
Orang yang memberikan makanan berbuka puasa, baginya pahala seperti
pahala orang yang mengerjakan puasa itu, tanpa dikurangkan sedikitpun."
Para Sahabat berkata: "Ya Rasulullah, tidaklah kami semua memiliki makanan berbuka puasa itu untuk orang yang berpuasa?!".
Maka bersabda Nabi Sallallahu 'alaihi Wasallam: "Allah memberikan
pahala itu kepada orang yang memberikan sebutir kurma, atau seteguk air,
atau sehirup susu. Dialah bulan yang permulaannya rahmat,
pertengahannya keampunan dan pengakhirannya merdeka dari api neraka.
Barangsiapa meringankan beban daripada hamba sahaya (pembantu-pembantu
rumah), nescaya Allah akan mengampuni dosanya dan memerdekakannya
daripada api neraka. Oleh itu perbanyakkanlah empat perkara di dalam
bulan Ramadhan. Dua perkara untuk menyenangkan Tuhanmu dan dua perkara
lagi untuk kamu sangat menghajatinya. Dua perkara yang kamu lakukan
untuk menyenangkan Allah ialah mengakui dengan sesungguhnya bahawa tiada
Tuhan yang disembah melainkan Allah dan memohon keampunan kepadaNya.
Dua perkara lagi yang kamu sangat memerlukannya ialah memohon syurga dan
berlindung daripada neraka. Barangsiapa yang memberi minum kepada orang
yang berpuasa, nescaya Allah memberi minum kepadanya dari air kolam itu
dengan suatu minuman yang dia tiada merasakan dahaga lagi sesudahnya,
sehingga dia masuk ke dalam syurga"
(At-Targhib, jld.II, 217-218)
Diterjemah oleh Ustaz Fakarudeen- Usrah Fitrah
No comments:
Post a Comment