Monday, 5 December 2016

05122016

Terasa ingin seperti disambung entri 0212

Hakikat doa. Itulah senjata ampuh melalui 'skrip' harian moyang, nenek dan datuk kita dahulu. Minta diberikan yang baik2 untuk diri dan zuriat keturunan. Walau isi dan tulang mereka sudah dimamah tanah, doa itu tidak akan pernah putus. Kalau pun tidak Allah makbulkan ketika mereka di atas bumi, rasanya ada yang Allah jawab pada diriku hari ini.

Kenapa aku kata begitu? Teringat kisah yang diceritakan Ustaz Izhar Arif dalam ceramahnya yang pernah aku hadir di Bangi dulu. Pernah beliau bertanya rahsia kekayaan Datuk Yusuf Haslam. Katanya antara puncanya kerana doa almarhum ayahnya. Ayahnya hidup serba susah. Sukar sekali hidup mereka ketika itu hingga dia terpaksa bekerja sejak dari kecil. Selain tidak pernah culas membayar zakat, doa ayahnya yang tidak akan beliau lupa adalah “Ya Allah, berikanlah kekayaan pada diriku, anakku dan keturunanku.” Ini doa yang dipanjatkannya berkali-kali. Doa itu tidak Allah jawab ketika hayatnya. Hidupnya tetap miskin hingga ke hari terakhir nafasnya. Tetapi Allah rezekikannya kepada anaknya - seorang yang kini bergelar jutawan – Datuk Yusof Haslam. MasyaAllah!

-------
Pada 3/12 lepas, Allah izinkan kami anak beranak mengikut suami ke tempat kerjanya di Kepala Batas. Alhamdulillah sempat kami bersarapan bersama di gerai Kacang Poi Utagha. Menu yang setahu aku berasal di Johor kini dapat dinikmati di tempatku sendiri. Namun hakikatnya nikmat makan bersama keluarga mengatasi kelazatan masakan itu. Setiap detik terasa sungguh berharga. Alhamdulillah.

Setelah suami ke pejabat, kami pun bergerak menuju Masjid Abdullah Fahim seperti yang dirancang. Teringat pula ada taman permainan berdekatan, lalu anak2 aku beri peluang untuk main2 di sana sebentar. Seronok sangat nampaknya. Macam tak puas.

Kemudian, kami pun bergerak ke masjid. Sempatlah solat Dhuha bersama Kakak dan Layla. Sejak dari awal tahu ada majlis tilawah Jpj di situ. Jadi sengaja datang sambil tumpang2 dapat barakah majlis. Baru sahaja nak dengar rupanya dah peserta terakhir...hehe. Tak mengapalah. Kemudian kami dihidangkan persembahan Qasidah dari kumpulan Masjid Bertam. Wah bukan main merdu suara2 mereka..masyaAllah! Keputusan diumumkan. Sudah adalah pemenang yang akan mewakili utara ke peringkat Kebangsaan utk agensi Jpj. Teringat pula zaman susah payah bersama sahabat di JAWI menganjurkan Tilawah. Walaupun perit dan penat, namun manisnya terasa hingga kini, dan kekal begitu.

Penutup majlis dapat pula kami 'sajian' rohani kedua melalui persembahan kumpulan nasyid sahabat kami Ustaz Idzhar- Nowseeheart. Dah banyak kali dengar malah hafal lagu2 dan selawat mereka, tapi macam tak jemu2 saja. Diselang seli tazkirah di antara lagu, rasa terhibur yang penuh berisi. Antara yang ustaz sebut:

  • Masjid tempat yang mendamaikan. Carilah damai di situ. Datanglah selalu kerana di situ tempat yang menjanjikan rahmah, barakah dan ketenangan.
    Sangat betul. Tidak perlu aku lihat jauh. Kebanyakkan yang bermasalah rumahtangga yang aku hadapi hari2 antara sebabnya kerana jauh dari masjid. Ada yang langsung tidak dinaikkan “tiang” dalam rumah. Tidak menunaikan solat. Solat tapi kadang2. Allah....

  • Al-Quran itu penawar. Allah dah lama “payung” kita dengan macam2 jenis “ubat” di dalamnya tetapi kita yang selalu tak ambil dan guna. Semaikan rasa cinta pada al- Quran pada setiap waktu. Bukan hanya pada waktu2 tertentu. Biar ia mendarah mendaging dalam nadi & kalbu.

Alhamdulillah. Dapat juga mutiara2 ilmu. Walaupun agak penat dan terasa panjangnya masa bila anak2 semua bersama. Sekejap baik sekejap gaduh. Aduh...pening. Tak mengapalahkan sementara masih kecil2. Itulah pun yang akan kita rindu bila semua dah besar nanti. 

Moga ada tempias benda2 yang baik masuk menyerap dalam diri mereka. Sedikit pun jadilah. Biar jadi sebaik2 orang :-)



No comments:

Post a Comment