Monday, 5 December 2016

02122016

Teacher’s Diary

Baru selesai menonton filem Thailand itu. Best! Banyak sekali pengajaran. Macam nak bagi 5 bintang! :-) Betapa jerih dan payahnya menjadi seorang guru. Ibu ayah di sekolah, guru agama, guru adab ..namakan sahaja, itulah gelaran2 lain untuk mereka. Filem ini juga kembali menyuntik semangat menulis diari dalam diriku. Dalam filem itu, dua orang hero dan heroin yang tidak pernah bersua muka, seolah sangat mengenali sesama mereka hingga membibitkan rasa cinta hanya melalui perkongsian masing2 dalam sebuah diari yang sama. Diari itu juga sangat memberi motivasi kepada mereka berdua malah sangat membantu mereka menyesuaikan diri sebagai seorang guru sekolah houseboat yang terletak jauh di pedalaman sehingga akhirnya membuahkan bibit cinta & rindu.

Teringat pula diari yang pernah aku tulis semasa belajar dahulu. Entah di mana letaknya. Tidak sanggup rasanya dibaca kembali. Banyak yang entah apa-apa. Semangat yang sama aku dapat selepas menonton Ghajini – filem hindustan hasil lakonan utama Amir Khan. Dari diarinyalah banyak kisah silam dapat diketahui setelah beliau lupa ingatan.


Sering minda merasakan, cukuplah menulis di fb dan blog. Di diari atau mana2 hard copy bimbang hilang seperti yang sebelum2 ini. Tapi dapatkah bertapak lama di alam maya? Tak pasti. Sempatkah generasi anak cucu dan keturunanku membaca?. Moga Allah beri kuat untuk menulis diari semula. Setiap hari – apa sahaja yang terjadi. Moga manfaat dari apa yang ditulis dapat kekal berpanjangan.

Terfikir pula. Jikalah nenek dan moyang2 aku dahulu menulis diari, pasti banyak yang aku tahu tentang mereka. Susah dan payah mereka meneruskan kelangsungan hidup. Hanya sedikit yang aku tahu dari pakcik dan makcik. Itupun sudah sangat menyentuh hati. Bagaimana hebatnya perjalanan dan pengorbanan Datuk yang bermusafir dari tanah Jawa ke Malaysia meninggalkan keluarga di sana. Berbekalkan tulang empat kerat, membanting tenaga di bumi Darul Ehsan membangunkan kerjaya dengan berbakti pada tanah. Berkahwin pula dengan nenek hingga punya anak 11 yang kebanyakkannya berselang setahun dua sahaja!

Ketika detik kesusahan mereka itu, tiada apa yang mereka fikirkan selain bagaimana memastikan anak 11 (seorang meninggal kecil) ini tidak kelaparan dan diberi bekal pendidikan. Tidak banyak yang aku tahu tentang datuk. Ayahku sendiri tidak dapat mengingat bagaimana rupa ayahnya. Ketika anak ke 11 baru berusia 10 hari dan ayahku anak ke-6 berusia 5 tahun, hari itulah Allah menjemputnya pulang dengan asbab demam biasa. Maka tinggallah seorang ibu tunggal bersama 10 orang anak dengan pak longku yang paling tua berumur 17 tahun dan mak ngahku 16 tahun ketika itu. Mereka inilah memikul tanggungjawab seperti “ibu dan ayah” kepada adik2 yang masih kecil.

Pernah mak ngahku bercerita. Apa yang ditanam di sekeliling rumah itulah yang menjadi makanan harian. Oh tidak terbayang bagaimana sukarnya mereka. Pakcik memberitahu hingga ada jiran yang mencemuh bolehkah si janda meneruskan hidup dengan 10 orang anaknya? Maha Suci Allah yang berkuasa yang mengizinkan dan memberi kekuatan. Itulah “tangkal” pada nenek hingga dapat menempuh cabaran hidup membesarkan kesemua mereka, alhamdulillah. Nenek mengembuskan nafas terakhir ketika aku berusia 12 tahun.

Walau tidak banyak perkara yang aku tahu tentang mereka, ada satu perkara yang aku sangat pasti tentang mereka. Jika ada sifat positif dalam diriku, pastinya datang dari mereka.



No comments:

Post a Comment