Thursday, 29 May 2014

Isra' Mi'raj bersama Ustaz Idzhar Jumali


Isra' Mi'raj 

Ia kisah yang berulang-ulang.
Perjalanan yang sama yang tidak boleh ditokok tambah. Dari kita kecil hingga besar ia kisah yang sama. Dalam hidup, rupa-rupanya kisah sama yang diulang tidak akan pernah dijentik rasa jemu jika ada sesuatu perkara baru yang boleh dipelajari darinya. Sama seperti  kita menonton filem P.Ramlee berkali-kali. Anak kecil kita menonton Upin Ipin yang sama setiap petang dengan penuh teruja walaupun telah lancar dihafal dialog dan lawaknya.

Permulaan Isra'....


Kematian pakcik


Ia peristiwa besar yang dimula dengan dugaan besar sebagai bermulanya asbab Isra' Mi'raj. Nabi diuji dengan kematian Abu Talib. Beliau seperti seorang ayah pada Nabi. Maka pemergiannya menjadikan Nabi sangat sedih.  Sebagaimana kita sedih dengan pemergian keluarga tersayang, Nabi tidak terkecuali. Tambahan pula pakcik Nabi pergi dalam keadaan belum sempat melafazkan kalimah syahadah. Ia sama seperti seorang saudara baru yang amat sedih dan risau jika ibu dan ayah mereka mati dalam keadaan belum Islam.

Kematian Isteri

Jika isteri outstation sahaja sudah kelam kabut si ayah/suami bagaimana jika isteri sudah tiada lagi di dunia? Baginda sangat sedih. Ia kesedihan yang bersangatan. Maka Nabi disarankan ke Taif meminta bantuan. Pada mulanya disambut baik namun setelah diterangkan tentang aqidah Islam, Nabi dihalau, dibaling batu, dikeji dan dihina dengan teruk.  Ini menambah kesedihan Nabi. Sedang di bumi sendiri Mekah ditekan, di luar pun begitu juga.

‘Ibrah:

1) Nabi ada harapan/pergantungan tinggi terhadap Allah
Walau dalam keadaan sangat duka, pulang dari Taif, Nabi berdoa di pohon anggur. 
Kita juga dalam keadaan sedih sesekali. Tapi dalam keadaan begitu kita kadangkala lupakan Allah. Kaya tapi jauh dari Allah ia biasa. Tapi miskin yang jauh dengan Allah, bukankah pelik? Ramai orang tersilap. Bila susah lupa Allah. Ini yang Nabi ajar. Dalam tekanan sehebat mana pun jangan lepaskan tali kebergantungan dengan Allah. Ada sesetengah orang di tempat lain yang sanggup tukar aqidah dengan material.  Percayalah “dalam susah akan ada bantuan dan kesenangan” -  innamal 'usri yusra.

P    2) Prihatin terhadap kekeluargaan
Prihatin terhadap anak, cucu, keluarga semuanya. Apa yang akan mereka bawa dari dunia setelah kembali kepada Pencipta? Nabi sedih kerana Abu Mutalib tidak beriman dengan Allah, kita juga perlu ada rasa risau pada keluarga terdekat. "Risaunya...nampak anak aku ni jauh dari Allah’

- Sekurang2nya guna senjata besar kita -DOA- biar semua kita mati dalam Husnul Khotimah.
“wa li jami’il muslimin wal muslimat”...
Jika semua kita berdoa sebegini, pasti ada perubahan dalam masyarakat.
- Sahabat saya ketika remaja agak nakal orangnya akan tetapi ibu bapanya sangat kuat berpegang dalam agama. Beliau sekarang amat memeranjatkan kami semua sahabatnya – sangat ‘alim, dengan serban bersama 'kitab-kitab kuning menjadi rakan karibnya'. Ia pastinya datang dari doa yang tidak putus dari si ibu dan ayah yang menjadi asbab perubahan sahabat saya itu.

Peristiwa Nabi dibelah dada, dibersihkan hati

Kita perlu bersihkan hati kerana ia syarat untuk jumpa Allah:

"Kembalilah kepada Tuhanmu Dengan keadaan Engkau berpuas hati (dengan Segala nikmat Yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! - "Serta masuklah Engkau Dalam kumpulan hamba-hambaKu Yang berbahagia -
"Dan masuklah ke Dalam SyurgaKu! " Surah Al-Fajr: 27-30 
Ini dalil- Jumpa Allah dalam keadaan yang bersih sahaja.

- Kita biasanya akan mengelak untuk terkena kotoran tapi biasanya akan terkotor juga.
Umpama pakai baju. Ia bersih, kemas dan bebas kedut pada awalnya. Petangnya pasti kotor sekurang2nya secalit peluh. Ia perkara yang kita perlu risau – hati yang kotor -

Bagaimana kita? Cuci hati dengan minum air zam-zam? Pembedahan? Ia mungkin jawapan seorang kanak-kanak.

Justeru, mari kita bersihkan hati dengan:

1. Membaca Al-Quran (Qiraatil Quran)

- Bagaimana kita membacanya? Panjang? Lama? Berkali-kali khatam?
Mungkin ia tidak bermakna kerana ia tidak terkesan di hati.
Tidak seperti bahan bacaan lain. Kita baca dan kita faham. Tapi Al-Quran, ia mungkin satu-satunya kitab yang dibaca tanpa faham. 

- Makcik saya memelihara seekor burung kakak tua yang boleh bercakap Jawa. Bagaimana begitu? Kerana ia dilatih oleh makcik saya orang Jawa. Tapi adakah burung itu faham apa yang dicakapkan? Burung kakak tua yang diajar cakap Selamat Pagi ..hanya tahu mengucapkan yang itu di setiap masa.

- Maka penting untuk kita faham Al-Quran. Kita mungkin dapat fadhilatnya tapi tak memberi kesan. Kita lihat para imam di Mekah yang hanya membaca surah Al-fatihah tetapi boleh menangis teresak-esak. Sedu-sedan orang di belakang pun boleh didengari. Kerana apa? Mereka faham apa yang dibaca. Kita di sini, imam baca panjang sedikit, badan dah mula bergoyang, hati mula gelisah & mengomel 'bila la nak habis ni??'. 

- Bagaimana remaja kita masa kini? Masih tidak boleh mengenal huruf walau telah menginjak ke Tingkatan 4?

- Mari kita lihat bagaimana kita, keluarga kita, sahabat kita dengan Al-Quran. Cuba imbas bagaimana bapa kita memaksa kita menonton Muqaddam zaman kecil kita dulu?

- Bayangkan baju yang sama dipakai berkali-kali tapi langsung tidak dibasuh? Cuba lihat orang gila yang berkeliaran begitu...bukankah bajunya nampak sama warna dengan kulitnya? Mungkin begitulah rupa hati yang tidak dibersih.

Jom jadikan Al-Quran jadikan sebagai jalan bersihkan hati..agar kita sampai kepada Allah SWT dalam keadaan hati yang bersih dan suci sama seperti ketika kita dilahirkan.
 
2. Duduk bersama orang-orang soleh
- Cuba lihat bagaimana seorang remaja makan-makan di restoran? Bising? Tidak sopan? Duduk lebih kurang? Tiba-tiba datang seorang pakcik, kawan ayahnya datang duduk di sebelah meja. Terus jadi baik secara tiba-tiba. Makan dengan tertib dan cakap terus sopan.
- Bagaimana pula adab kita ketika makan bersama di meja VIP? Bagaimana pula kita di rumah?
 Maknanya- siapa ada di sekeliling memberi kesan kepada kita. Apatah lagi jika orang itu orang baik, orang soleh. Suasana itu akan jadi bersih dan lunak. Pada awalnya mungkin terpaksa, lama-kelamaan jadi biasa dan lupa untuk buat tidak baik.

3. Zikrullah

Selepas di cuci hati, peristiwa Isra' nak bermula. 
Didatangkan tunggangan yang disebut 'buraq' (kilat) - sangat laju.

'Ibrah:-
1) Perjalanan isra' Nabi guna benda yang laju. Kelajuan dan kepantasan sangat penting dalam peristiwa ini.
2) Yang paling pantas laju dan bergerak pada kita sekarang - MASA
- Tidak seperti berada di majlis ilmu memang terasa lama tidak seperti di rumah. Begitu juga mungkin ketika solat tarawih jika si Imam membaca 1 juzuk setiap malam...:)

- Tetapi biasanya sekarang...
Dah nak puasa? Dah Khamis? Dah cuti sekolah? Rasa baru je....sedar-sedar sudah berakhir.

- Orang yang sedar tentang kepantasan ini perlu pantas mencari ruang untuk guna kepantasan masa yang banyak dengan memaksimumkan masa yang ada. Semua agenda harian perlu disusun kemas dan tertur mengikut keutamaan.

- Dalam sebuah artikel, sesiapa yang baca Al-Quran dan mentadabburnya nescaya akan memberi kita barokah masa. Saya sudah mula cuba, alhamdulillah terasa kebenarannya. Saya sering ceramah di area KL sedangkan saya di Putrajaya. Ceramah mula jam 8. Sepatutnya jam 6 tapi biasanya selepas Subuh di surau dan menghantar anak-anak akhirnya jam 7.15 baru boleh bergerak. Di sepanjang perjalanan, saya membaca ayat-ayat Al-Quran yang saya hafal. Alhamdulillah, setakat ini saya sampai tepat pada masanya di tempat ceramah. Ia memberi kesan yang baik kepada saya yang meyakini perkara ini.
Inilah yang perlu kita cari - barokah masa. Ingat - Hadis 5 perkara sebelum 5 perkara -


" Nabi diisra'kan, dari Masjidil Haram..terus menuju ke Masjidil Aqsa"

'Ibrah:
1) 2 checkpoint - MASJID -
- Nak jumpa Allah, di masjid. Itulah checkpoint hidup.
Kita amat digalakkan  menziarahi 3 masjid - Masjidil Haram, Masjidil Nabawi, Masjidil Aqsa.
Ingin mencari tempat berziarah? Ziarah lah yang mana-mana satu antaranya...
tak dapat buat semua jangan tinggal semua...
- Rugilah kita ada niat tempat yang biasa-biasa tanpa ada niat ziarah di tempat-tempat itu...
Ayah saya berniat untuk buat perkara yang sama- 'nak ke Mekah'. 10 tahun selepas itu beliau dapat, alhamdulillah. Dengan gaji hanya RM1300 dengan 7 anak, akhirnya Allah memakbulkan doa ayah menjadi tamuNya.Ada saudara yang sering menyebut belum seru sampai sekarang belum lagi sampai ke Tanah Suci.

Nabi tambat/ikat Buraq.
Kita tambat masa dengan Solat.
"Ha lepas Subuh keluar ke Pejabat. Kita makan lepas Zohorlah ya. Ha kalau nak main lepas Asar baru boleh keluar. Sebelum Maghrib balik tau! Lepas Isya' buat kerja sekolah."

Sedar atau tidak. Tentatif hidup kita diikat dengan waktu Solat.

Begitu juga ilmu, kita tambah dengan Tulisan (kertas, blog, fb atau mungkin dirakam dan sebagainya.) Jika tidak, ia akan dilupakan dan berlalu begitu sahaja.
Selepas ceramah, jumpa kawan dan bersembang maka semua yang didengar dalam majlis ilmu tadi hilang entah ke mana. Melainkan seseorang itu ada daya ingatan cukup kuat.


Kemudian Nabi solat. Malaikat datang diberikan 2 minuman. Satu isi susu, satu arak (riwayat lain ada kata 3). Nabi pilih susu. Malaikat kata kamu pilih yang fitrah dan suci.

'Ibrah:-
1) Makan dan minum perlu dipilih.
Hari ini semua orang sensitif tidak mahu sentuh coklat. 
Bukan itu sahaja, kita perlu berhati-hati dengan apa yang dimakan dan diminum dan dari mana sumber datangnya.

2) Jangan pilih aspek makanan sahaja, pilihan perlu yang bersih, suci dan fitrah.
- Saya petik kata-kata Ustazah Isfadiah - "Kita semua tiada pilihan melainkan kita semua dilahirkan sebagai hamba. Itu tiada pilihan. Tetapi kita ada pilihan untuk pilih siapa "TUAN" kita." Ada orang memilih bertuankan nafsu. Tapi jika kita pilih Tuan kita Tuhan Allah Rabbul Jalil, maka berjayalah dunia akhirat.
- Di kenduri kahwin, banyak pilihan makanan. Kita kurangkan nasi - ambil ayam - taknak daging - kurangkan sayur - ambil buah dan sebagainya. Jika ada pun pelayan, yang menentukan apa yang hendak dimakan adalah kita. Kita ambil apa yang baik untuk kita. Orang berpenyakit gout tak boleh ambil udang. Akhirnya, setelah ambil nasi dan lauk menimbun akhirnya yang dimakan sedikit sahaja. Kerana apa? Kita makan apa yang perlu sahaja.

- Kita ada pelbagai pilihan di luar, yang memilihnya kita. Justeru, bila jumpa Allah nanti adakah kita akan salahkan orang lain? Maka berhati-hatilah memilih. Pemilihan kita kadangkala gagal kerana itu bezanya kita dengan Nabi. Nabi pilih dalam keadaan hati yang bersih. Tidak seperti kita.

 " Nabi diisra'kan, dari Masjidil Haram..terus menuju ke Masjidil Aqsa.  
Nabi di Mi'rajkan dari Masjidil Aqsa terus menghadap Allah di Sidratul Muntaha "
Malaikat Jibril menemani Muhammad. Di setiap lapis langit Nabi memberi salam sebelum masuk.

'Ibrah:

1) Nabi mengajar adab masuk ke dalam rumah. Di dalam Al-Quran sendiri menyebut adab seorang anak - tidak dibenarkan 3 waktu*  untuk masuk ke bilik ibu dan ayahnya.
" Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah hamba sahaya (laki-laki dan perempuan) yang kamu miliki, dan orang-orang yang belum balig (dewasa) di antara kamu, meminta izin kepada kamu pada tiga kali (kesempatan), yaitu sebelum solat Subuh, ketika kamu menanggalkan pakaian (luar)mu di tengah hari, dan setelah solat Isya’. (Itulah) tiga aurat (waktu) bagi kamu. Tidak ada dosa bagimu dan tidak (pula) bagi mereka selain dari (tiga waktu) itu; mereka keluar masuk melayani kamu, sebahagian kamu atas sebahagian yang lain. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat itu kepadamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. " Surah An Nur ayat 58
 *
  1. Sebelum solat Subuh. Waktu ketika ibubapa kemungkinan sedang tidur. Mungkin ketika itu aurat mereka terdedah sangat tinggi dan anak-anak dilarang mengganggu ibubapa.
  2. Sebelum waktu Zuhur. Waktu ‘Qailulah’ iaitu antara waktu yang disunatkan untuk tidur sebentar. Ketika ini kemungkinan ibu bapa sedang berehat atau sedang tidur
  3. Selepas Isyak. Waktu dimana biasanya ibu bapa sedang bersiap-siap untuk tidur.

Nabi mendapat Perintah Solat

- Ketika hari guru, anak kita teruja membeli hadiah pada gurunya. Biasanya mereka akan pilih hadiah yang mereka suka bukan apa yang sesuai untuk gurunya. Mainan misalnya. Maka kita nasihatkan dia untuk beli hadiah sesuai dengan gurunya.

- Solat - ia hadiah Allah untuk kita hambaNya kerana itula hadiah terbaik untuk kita. Kita solat atau tidak Allah tidak berkurang atau bertambah sedikit pun. Maka solat perlu dijaga. Kualitinya perlu dipertingkatkan mengikut tahap. Solat seorang remaja pasti tidak seperti solat anak kecil darjah satu yang asyik main-main dan ketawa. Masuk dan pelajarilah mana-mana bengkel atau majlis ilmu yang mengajar kita memperbaiki solat. Solat adalah hadiah terbaik untuk umat - manfaatnya akan kembali kepada kita.

Pengisian oleh Ustaz Idzhar Jumali, Selfcure Resources dalam Program Isra' Mi'raj bersama Warga Emas pada 28 Mei 2015 di Pusat Aktiviti Warga Emas Cheras anjuran Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI.

Semoga beroleh manfaat.



No comments:

Post a Comment