Monday, 8 April 2013

Celik Al-Quran @ Yayasan Chow Kit 2013

3 April 2013 (Rabu) - Bahagian Pengurusan Dakwah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersama Al-Baghdadi Training Centre Kuala Lumpur (ATCKL) telah mengadakan kunjungan muhibbah ke Yayasan Chow Kit Malaysia (YCK) di Jalan Tunku Abdul Rahman & Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.
Lawatan yang disertai kakitangan Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI bersama Pengarah dan Timbalan Pengarah ATCKL disambut oleh kakitangan YCK diketuai oleh Cik Pusenthi Maniam selaku Centre Manager YCK. Kunjungan ini bertujuan mendapat gambaran awal tentang keadaan tempat dan kemudahan di YCK bagi memulakan Kelas Pengajian Al-Quran menggunakan Teknik Ak-Baghdadi bermula pertengahan April ini. Di samping mengambil peluang mendekati dan beramah-mesra bersama pentadbir dan golongan sasaran iaitu remaja dan kanak-kanak yang bernaung di bawah YCK ini, JAWI turut mengambil kesempatan menyerahkan sumbangan barangan dan pakaian terpakai yang dikumpul kepada sasaran.

Melalui penerangan yang diberikan, Yayasan Chow Kit  yang ditubuhkan bermula Januari 2011 ini, adalah sebuah pertubuhan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat yang misi utamanya adalah untuk melindungi hak kanak-kanak dan remaja yang berisiko dan menyediakan persekitaran yang kondusif serta peluang yang positif dan menyeluruh agar potensi dan kemahiran yang optimum dapat digilap dan dicapai. Terdapat tiga entiti di bawah Yayasan ini iaitu Taska Baitul Amal, Jalan Raja Laut (bagi kanak-kanak 0-4 tahun), Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) Nur Salam, Jalan Chow Kit (bagi kanak-kanak 5-12 tahun) dan Kuala Lumpur Krash Pad (KLPP) Jalan Tunku Abdul Rahman (bagi remaja 13-21 tahun).

Justeru, JAWI bekerjasama dengan ATCKL diberi peluang menyediakan pengisian rohani kepada mereka dengan mengadakan Kelas Pengajian Al-Quran menggunakan Teknik Al-Baghdadi kepada kanak-kanak dan remaja YCK.  Lawatan ke dua-dua tempat (KLPP dan PAKK) ini sempat diselitkan dengan intro ringkas teknik pengajian Al-Baghdadi dari pihak ATCKL kepada kanak-kanak di PAKK. Semangat yang ditunjukkan oleh kanak-kanak ini jelas terpancar melalui respon mereka yang sangat interaktif terhadap teknik pengajian bentuk baru dan menyeronokkan ini.

Diharapkan usaha kerjasama ini sedikit-sebanyak dapat membantu mereka mendekati agama dengan menanamkan minat untuk mengaji dan celik Al-Quran. Memetik kata-kata Pengurus YCK "Walaupun saya bukan beragama Islam, tetapi saya yakin dan percaya hanya agama mampu menbentuk anak-anak ini menjadi manusia yang lebih baik". Beliau turut melahirkan keterujaannya untuk turut sama mempelajari teknik ini.

No comments:

Post a Comment