Wednesday, 17 April 2013

Dapatan Kelas Fiqh Siri 4/2013 pada 120413

Kuliah yang telah disampaikan oleh Y.Bhg Ustazah Asmak Husin - Pensyarah CITU, UITM Shah Alam


Berikut sekadar intipati isi yang disampaikan oleh Alfadhilah Ustazah mengikut silibus di dalam kitab Fiqh Mazhab Syafie**. Namun mengikuti kelas secara langsung dengan penerangan & contoh2 yang jelas akan meningkatkan lagi mutu pemahaman seseorang ke atas persoalan fiqh yang sangat luas bentuk & keadaannya. Walaubagaimanapun, diharapkan sedikit sebanyak dapatan ini dapat dijadikan garis panduan dalam kita menjalani kehidupan harian, in syaa Allah.

Rujukan lepas:
Dapatan Kelas Pengajian Fiqh Siri 2/2013
Dapatan Kelas Pengajian Fiqh Siri 3/2013

** Kitab Fiqh Mazhab Syafie Versi Pdf

Imbas kembali...

BAHAGIAN-BAHAGIAN MANDI

1. Mandi yang diwajibkan
2. Mandi yang disunatkan

Pertama:  

Mandi yang diwajibkan - berlaku apabila perkara-perkara yang mewajibkan mandi, maka ibadat yang memerlukan kepada bersuci tidak sah dilakukan tanpanya (mandi)

Sebab-sebab yang mewajibkan mandi ialah:
1. Janabah
2. Haid
3. Melahirkan anak (wiladah)
4. Mati

Kedua: Mandi yang Disunatkan
1. Mandi pada hari Jumaat
2. Mandi pada 2 hari raya
3. Mandi Gerhana Matahari dan Bulan
4. Mandi untuk Sembahyang Istisqa' (sembahyang minta hujan)
5. Mandi selepas Memandikan Mayat
6. Mandi yang berkaitan dengan ibadat Haji
   - ketika memasuki Mekkah
   - ketika wukuf di Arafah
   - untuk melontar batu di 3-3 Jamrah
   - ketika memasuki Madinah

CARA MANDI - cara wajib dan sunat

* Pelajaran siri kali ini ialah dari bab Mati dan seterusnya (perkataan diwarnakan merah di atas)

4. MATI
(Kitab)
Seseorang Muslim yang mati, maka orang-orang Islam yang lain WAJIB memandikannya.
Kewajipan ini adalah fardhu kifayah iaitu apabila sebahagian kaum kerabat mereka atau orang lain melakukannya, maka gugurlah tuntutan wajib tersebut ke atas orang lain. Sekiranya ia tidak dilakukan oleh seorang pun di kalangan mereka, maka semuanya berdosa.
(Ustazah)
Paling afdhal mayat seseorang dimandikan oleh keluarga yang paling rapat terlebih dahulu ( cth: seorang suami dimandikan oleh isterinya, anak-anaknya,  adik-beradiknya atau ibubapanya - jika semua masih ada) kemudian barulah di'swasta'kan kepada orang luar- pemandi jenazah, orang kampung & sebagainya. Namun realiti yang berlaku sekarang, kronologi ini berlaku sebaliknya.

(Kitab) 
Orang yang memandikan:
WAJIB BERNIAT MEMANDIKANNYA - bagi yang bukan mati syahid*

* yang mati syahid tidak boleh dimandikan (perbahasan lanjut akan dibahaskan dalam bab jenazah)
(Ustazah)
Mati Syahid terdiri daripada Syahid besar dan Kecil
Syahid besar melibatkan orang-orang yang mati berjuang/berjihad kerana mengakkan agama seperti syuhada' yang mati dalam perang zaman Nabi, atau pada masa kini, yang berlaku di Palestin.
Mandi jenazah tidak perlu bagi golongan ini.
Syahid kecil pula seperti orang-orang yang mati dalam kemalangan, lemas, melahirkan anak atau yang dalam perjalanan pergi atau pulang mencari ilmu.

Manakala bagi kes mereka yang berjuang di Lahad Datu, berdasarkan pendapat Ustaz Dr.Zulkifli AlBakri, memandangkan peperangan tersebut melibatkan sesama Islam, maka ia bergantung kepada niat pejuang-pejuang tersebut.

Dalil mewajibkan orang yang mati:
"Rasulullah SAW bersabda tentang seorang yang mati dalam keadaan ihram kerana dicampak dan dipijak tengkoknya oleh untanya: Mandikannya dengan air dan air bidara (AlBukhari & Muslim)"

Kedua: Mandi yang Disunatkan -
mandi yang sembahyang tetap sah walaupun tanpanya, tetapi syarak menghukumnya sunat.

Contoh mandi yang disunatkan:

1. Mandi pada hari Jumaat
 Disunatkan mandi pada hari Jumaat bagi orang yang ingin menghadiri sembahyang Jumaat sekalipun sembahyang Jumaat tersebut tidak diwajibkan ke atasnya (seperti orang bermusafir, perempuan, kanak-kanak)

Dalil: "Sesiapa yang berwudhuk pada hari Jumaat maka ia telah beramal dengan sunnah yang merupakan sebaik-baik perkara dan sesiapa yang mandi, maka mandi itu lebih baik." (At-Tirmidzi)

Waktu Mandi pada hari Jumaat:
Ketika terbit fajar sadiq (masuk waktu Subuh).
Waktu lebih afdhal- ketika hampir dengan pemergiannya untuk sembahyang Jumaat
Rasionalnya:
Kerana ia lebih membawa maksud mandi itu sendiri iaitu mewangikan tubuh, menghilangkan peluh serta bau yang busuk. Solat Jumaat menghimpunkan orang ramai. Maka solat ini bertujuan tidak menyakitkan yang lain dengan bau busuk. Oleh itu Nabi SAW melarang mereka yang ingin bersembahyang di masjid daripada memakan bawang putih dan besar.

2. Mandi pada 2 hari raya  (Hari Raya Aidilfitri & Hari Raya Korban)
 Hukum ini meliputi mereka yang ingin menghadiri sembahyang atau tidak.
Ini kerana, hari rayab adalah hari untuk berhias, maka disunatkan mandi kerananya.

Imam Malik dalam Al-Muwatta'
"Abdullah bin Umar ra mandi pada hari raya fitrah sebelum beliau pergi ke tempat sembahyang"

Diqiaskan hari raya korban dengan hari raya fitrah (dari segi hukum sunat mandi pada hari tersebut).
Amalan sahabat Nabi ini dikuatkan lagi dengan diqiaskan mandi 2 hari raya dengan mandi pada hari Jumaat. Ini kerana makna yang terkandung pada keduanya adalah sama iaitu membersihkan diri bagi menghadiri satu perhimpunan orang ramai (kerana mendirikan sembahyang).

Waktu Mandi pada kedua-dua hari raya :
Bermula pada pertengahan malam hari raya.

3. Mandi Gerhana Matahari dan Bulan
Disunatkan mandi ketika hendak mendirikan sembahyang gerhana matahari dan bulan.
Dalil: qias kepada sembahyang Jumaat (disyariatkan berjemaah dan perhimpunan orang ramai untuk melaksanakannya)
 
4. Mandi untuk Sembahyang Istisqa' (sembahyang minta hujan)
Disunatkan mandi sebelum keluar bagi mendirikan sembahyang istisqa' - qias kepada mandi untuk sembahyang matahari dan bulan.

5. Mandi selepas Memandikan Mayat
Disunatkan mandi kepada sesiapa yang memandikan mayat.

Dalil: "Sesiapa yang memandikan mayat maka hendaklah dia mandi. (Imam Ahmad menghukumnya hadis hasan)

Perintah mandi dalam hadis di atas bukan dengan makna wajib bahkan sunat berdasarkan hadis lain:

"Tidak wajib  ke atas kamu mandi dalam masalah memandikan mayat di kalangan kamu, apabila kamu memandikannya"

6. Mandi yang berkaitan dengan ibadat Haji
   - ketika memasuki Mekkah
   - ketika wukuf di Arafah
   - untuk melontar batu di 3-3 Jamrah
   - ketika memasuki Madinah

CARA MANDI:-

1) Cara WAJIB

a) Niat kektika mula membasuh tubuh berdasarkan hadis Rasulullah SAW:
Cara berniat: terlintas dalam hati, sekiranya ia berkata2 dengan lidah terlebih dahulu maka lebih afdhal.
"Sahaja aku mandi wajib, atau sahaja aku mengangkat janabah, atau sahaja aku mandi untuk mengharuskan sembahyang, atau sahaja aku mandi kerana melakukan sesuatu pengharusannya memerlukan mandi"

b) Membasuh seluruh badan yang zahir dengan air termasuk kulit atau rambut. Air juga hendaklah disampaikan ke bahagian dalam rambut dan pangkalnya.
(Ustazah)
Adakah perlu mandi dalam keadaan berdiri atau mencangkung?
Jika dengan berdiri bersahaja boleh menyampaikan air ke seluruh bahagian tubuh, maka berdirilah.
Jika dengan bercangkung sahaja boleh meratakan air ke seluruh bahagian tubuh, maka bercangkunglah. Namun jika dengan berdiri dan mencangkung akan meratakan air ke seluruh bahagian tubuh, maka lakukanlah kedua-duanya.

Dalil Abu Daud meriwayatkan daripada Ali ra. yang mendengar Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang meninggalkan satu tempat sehelai rambut (yang tidak suci) disebabkan janabah di mana air tidak mengenainya, maka Allah akan melakukan demikian-demikian dengannya daripada api neraka"  

2) Cara yang disunatkan

a) Membasuh kedua tangan di luar daripada bekas air. Kemudian membasuh kemaluannya dengan tangan kiri dan juga segala kotoran yang ada pada badannya. Selepas itu menggosoknya dengan pembersih/penggosok.

b) Berwudhuk dengan wudhuk yang sempurna tetapi tidak mengapa sekiranya melewatkan membasuh kedua kaki ketika akhir mandi.

c) Menyelati rambut kepala dengan air kemudia membasuh kepala 3 kali.

d) Membasuh bahagian kanan dahulu kemudian bahagian kiri.

e) Menggosok tubuhnya dan berturut-turut dalam membasuh anggota. (tidak terputus)

f) Bersungguh-sungguh membasuh bahagian lipatan pada tubuh.
Hendaklah mengambil air dan membasuh ke semua tubuhnya yang berlipat seperti kedua-dua telinga, lipatan-lipatan perut, di dalam pusat dan ketiak. Sekiranya dia yakin bahawa air tidak akan sampai ke tempat tersebut melainkan dengan berbuat demikian, maka perbuatan tersebut menjadi wajib (bukan disunatkan lagi).
 
g) Membasuh sebanyak 3 kali sebagai qias kepada wudhuk.

**(Ustazah)- sekiranya satu-satu perbuatan telah dilakukan sebanyak 3 kali tetapi masih timbul was-was sama ada bersih atau tidak, cukuplah. Tidak perlu diulang lebih dari 3 kali ini kerana ia sesungguhnya datang dari gangguan syaitan yang suka mendatangkan was-was pada manusia.

Perkara-perkara yang MAKRUH ketika mandi:

1. Berlebih-lebihan dalam menggunakan air
AlBukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Anas ra bahawa dia berkata:
"Adalah Nabi SAW mandi dengan menggunakan air antara satu gantang hingga lima cupak dan berwudhuk dengan satu cupak"

2. Mandi air yang bertakung (seperti kolam renang)
Diriwayatkan oleh Muslim dan lainnya daripada Abu Hurairah ra bahawa Nabi SAW bersabda:

"Janganlah seseorang kamu mandi pada air yang bertakung sedangkan ia dalam keadaan junub"

Kemudian mereka bertanya: Wahai Abu Hurairah ra bagaimana ia harus dilakukan.
Jawab Abu Hurairah:
Hendaklah dia mengambil air tersebut dengan tangannya atau dengan bekas yang kecil dan ia berniat menjadikan (kedua tangan tadi) sebagai cebok jika air itu sedikit, supaya air tersebut tidak menjadi air musta'mal dengan sebab ia menyentuh air dengan kedua tangan. Ataupun dia mengambil sedikit air daripada satu bekas sebelum berniat mengangkat janabah. Kemudian dia berniat dan basuh tangannya. kemudian ia mencebok air tersebut dengan tangannya.

Hikmah larangan ini ialah:
1. Jiwa manusia akan terasa jijik untuk menggunakan air yang telah digunakan untuk mandi di dalamnya dengan apa cara sekalipun.
2. Air itu akan menjadi sia-sia kerana tidak sesuai lagi untuk dibuat bersuci sekiranya ia kurang dari 2 kolah. 



Wallhua'lam

No comments:

Post a Comment