17 Mac 2013 (Ahad) – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Daraini Management Consultant & Training (DRM) telah
menganjurkan Program Perlatihan Kecemerlangan Wanita Siri 1/2013 dengan
jayanya bertempat di Dewan Syarahan Utama, Masjid Negara Kuala Lumpur.
Program yang dikendalikan sepenuhnya oleh perunding DRM, Dr Azahar
Yaakob dan isteri Ustazah Nor Hafizah Bt Musa ini mendapat sambutan
hangat apabila berjaya menarik lebih 170 peserta muslimat yang terdiri
daripada kakitangan kerajaan, swasta, NGO, IPT, surirumah dan ibu-ibu
tunggal. Ia dianjurkan bagi mengetahui matlamat, kaedah, cabaran dan
kekuatan yang diperlukan oleh seorang pendakwah muslimah serta
menggalakkan golongan muslimat meneladani para tokoh wanita agung di
kalangan Ummahatul Mukminin.
Program sehari ini dimulakan dengan sesi Shift Your Paradigm yang merupakan slot ice breaking
bertujuan memecahkan perasaan kekok dan segan seterusnya meningkatkan
sayang, kenal-mengenal dan kerjasama sesama peserta. Sesi seterusnya ’Inspirasi Ummahatul Mukminin’
pula telah berjaya menyedarkan kaum wanita bahawa idola mereka yang
sebenar ialah para isteri Nabi dan Rasul. Kegagalan hidup kaum wanita
hari ini bukan kerana ketandusan cerminan hidup, sebaliknya gagal
mengungkap pakej hidup ummahatul mukminin ke dalam hidup seharian.
Slot Kontrak Sosial Wanita pula pada sesi petang telah membuka
mata para peserta melalui statistik permasalahan sosial yang menjadi
cabaran paling besar bagi wanita yang dianggap sebagai nadi pendidikan
kepada anak-anak. Seterusnya slot Peribadi Hebat dan Memikat
memberi panduan kepada para muslimat bagaimana membentuk acuan dan wadah
yang diperlukan untuk menjadikan diri hebat dan memikat. Kemuncak
program ini berakhir dengan jayanya melalui sesi muhasabah yang sangat
menyentuh emosi melalui terapi Aura Syifa’.
No comments:
Post a Comment